Subscribe

Monday 14 November 2011

Kena demam kuning pula. Kesian calon SPM.

Sumber : Berita Harian Online


KUALA BERANG: Seramai 32 penduduk Kampung Basong dan Pasir Dula, Telemong di sini termasuk seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bersama tiga adiknya, ditahan di Hospital Hulu Terengganu (HHT) semalam kerana menghidap gejala demam kuning dipercayai Hepatitis A berpunca daripada virus air kencing tikus.

Mangsa termasuk 11 kanak-kanak berusia antara 36 bulan hingga 50 tahun dari kampung berkenaan menghidap demam kuning kerana menggunakan sumber air bukit yang disalurkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dipercayai tercemar virus kencing tikus. 
 
Seorang mangsa, Nur Ain Nabila Rasid, 17, dari Kampung Basong, terpaksa menduduki peperiksaan SPM hari ini di wad khas HHT selepas dia dan tiga adiknya, Muhammad Shafiq, 11, Arni Natasya, 7, dan Muhammad Irwan Aiman, 3, ditahan kerana menghidap demam kuning. 



Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr Abdul Rahman Mokhtar, berkata semua mangsa dirujuk ke HHT sejak Khamis lalu tetapi ditahan di wad mulai semalam berikutan gejala demam kuning mereka perlu distabilkan menerusi rawatan intensif.

Katanya, seorang daripada mangsa sudah dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan lanjut.


“Setakat ini, kita belum dapat mengesahkan sama ada mangsa yang menghidap demam kuning atau Hepatitis A berpunca daripada virus air kencing tikus.

“Jabatan Kesihatan negeri sudah mengambil sampel darah untuk dianalisis bagi menentukan punca demam kuning,” katanya, semalam.
Bulan lalu, 24 orang masyarakat Orang Asli di perkampungan Sungai Berua, Kuala Telemong turut ditahan di HHT kerana menghidap demam kuning selepas menggunakan air sungai disyaki virus air kencing tikus.

Ahli Dewan Undangan Negeri Telemong (ADUN), Rozi Mamat, berkata penduduk dua kampung itu masih menggunakan bekalan air bukit yang tidak dimasak, walaupun kerajaan negeri sudah menyediakan bekalan air bersih disediakan Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd.


“Kita sudah meminta Jabatan Kesihatan negeri dan daerah melakukan siasatan bagi menentukan keadaan air bukit digunakan mangsa.


“Kita tidak menolak kemungkinan air bukit digunakan mangsa daripada sumber air Sungai Berua yang digunakan masyarakat Orang Asli yang juga menghidap gejala itu sebelum ini,” katanya.


Sementara itu, Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Anwa Sulaiman, ketika dihubungi berkata pihaknya sedang menyiasat kejadian itu tetapi tidak dapat membuat pengesahan kerana keputusan sampel belum diperoleh.

0 comments:

Post a Comment