Subscribe

Wednesday, 16 November 2011

Dokumentari MJ Yang Tidak Pernah Ditonton Akan Dilelong Lebih RM20 Juta

LONDON: Sebuah dokumentari yang merakamkan aksi legenda pop Michael Jackson pada tahun 1992-93 ketika beliau sedang mempromosikan konsert 'Dangerous' dijangka akan dilelong melebihi RM20 juta pada hujung bulan ini.
Pita rakaman dokumentari tersebut kini dikatakan berada di tangan salah seorang bekas pemandu peribadi Michael dan dia telah memberi persetujuan kepada sebuah firma lelongan untuk melelong dokumentari berkenaan.
Rakaman di belakang pentas itu dibuat oleh sekumpulan krew dokumentari yang diupah oleh Michael ketika berlangsungnya konsert 'Dangerous' di seluruh dunia antara tahun 1992-93 tetapi beliau akhirnya tidak berpuashati dengan rakaman berkenaan dan membuat keputusan untuk tidak dihasilkan secara komersil.
Satu-satunya pita rakaman tersebut kemudian diserahkan oleh Michael kepada pemandunya ketika itu.
Pemandu berkenaan yang mendakwa beliau memperolehi pita rakaman itu sebagai hadiah istimewa daripada Michael di atas perkhidmatan yang diberikannya telah menyimpan pita rakaman itu dan tidak memaklumkan kepada sesiapa pun termasuklah kakitangan Michael.
Tidak ada siapa pun mengetahui mengenai kewujudan pita rakaman tersebut sehinggalah klip ringkas mengenainya tersiar dalam laman You Tube baru-baru ini.
Michael yang meninggal dunia pada Jun 2009 kerana mengambil sejenis ubat penenang yang sangat kuat bernama Propofol tidak meninggalkan sebarang wasiat atau nota mengenai rakaman video berkenaan.
Sejak tersiarnya klip berkenaan dalam YouTube, para peguam syarikat rakaman Michael cuba membuat tuntutan hak ke atas dokumentari tersebut tetapi telah ditolak oleh sebuah mahkamah yang bersetuju bahawa ia adalah hadiah yang diberikan oleh Michael kepada pemandunya itu.
Bagaimanapun mahkamah menghalang pemandu tersebut daripada membuat salinan.
Dokumentari berdurasi dua jam itu dijangka membuat keuntungan berjuta-juta ringgit apabila ia dilelong kerana dikatakan mengandungi rakaman kandid di belakang pentas termasuklah mengandungi rakaman Jordy Chandler yang pernah menuduh Michael mencabul kehormatannya sebelum kes mereka diselesaikan di luar mahkamah.
CEO Fame Bureau Auctioneers, Ted Owen, yang akan bertanggungjawab melakukan lelongan tersebut berkata; "Rakaman dokumentari itu sangat bernilai tinggi kerana kualiti rakamannya termasuklah insiden-insiden kandid di belakang pentas serta jumlah kamera yang digunakan dan juga keistimewaan ia dirakamkan begitu hampir dengan persembahan Michael sepanjang konsert Dangerous."
Dalam pada itu, pemegang hak harta peninggalan Michael telah memberi lampu hijau kepada Kumpulan Queen untuk mengeluarkan album rakaman penyanyi mereka mendiang Freddie Mercury dengan Michael yang dibuat pada awal tahun 1980-an di Amerika Syarikat.

sumber: mstar online

0 comments:

Post a Comment