BANGKOK - Banjir yang melanda ibu kota Thailand di sini memberi durian runtuh kepada peniaga-peniaga kecil yang menjual pelbagai barang yang digunakan semasa banjir.
Antara barangan tersebut termasuk but getah beraneka warna, jet ski, pam air, kipas bot dan pembalut plastik.Malah, mekanik-mekanik di sini menawarkan perkhidmatan mengapungkan kenderaan yang ditenggelami air dengan menggunakan bahan styrofoam.Mereka juga melakukan modifikasi khas dengan memasang snorkel enjin dan ekzos yang diubah suai bagi membolehkan kereta, trak dan motosikal meredah jalan raya yang ditenggelami air.Mekanik-mekanik itu di bandar raya ini sibuk dengan peralatan khas yang diubah suai bagi membolehkan kereta, trak dan motosikal melalui kawasan yang dilanda banjir.
Seorang mekanik berusia 24 tahun, Thong Dechapak berkata, bengkel kereta keluarganya mengenakan caj AS$333 (RM1,049) untuk memasang dua alat berkenaan.Gajet enjin itu dipacak tegak melepasi bumbung kereta seperti snorkel selaman.Ia berfungsi untuk menyedut udara bagi membolehkan pembakaran enjin terus berlaku ketika kenderaan melalui air banjir."Permintaan untuk alat ini tinggi. Kami menerima tempahan pelanggan sekitar dua bulan lalu apabila wilayah-wilayah di utara bandar raya ini mula ditenggelami air banjir," kata Thong.
Seorang peniaga lain, Wiweena Boonsanong, 27, pula menjual beraneka but getah yang didatangkan dalam pelbagai warna."Wanita mahu gemar berfesyen walaupun dalam suasana banjir, kami mahu sentiasa kelihatan comel," kata Boonsanong.Dalam tempoh sejam, peniaga wanita itu berupaya menjual enam pasang but getah pada harga AS$12 (RM37) sepasang.Selain but getah, mesin kipas yang boleh digunakan sebagai kipas untuk menggerakkan rakit buluh turut mendapat permintaan menggalakkan.Sebuah mesin berkenaan dijual pada harga sekitar AS$315 (RM993).Wichra Lertrasamee yang menjual peralatan itu menyatakan, seorang pembeli membelinya untuk menggerakkan rakit buluh.
Keluarganya mula menjual peralatan untuk musim banjir itu di rumahnya di wilayah Chachergsao, timur Bangkok.Apabila banjir itu melanda dari utara, dia mendirikan kedai sementara di kawasan berdekatan dengan Pathum Thani.Apabila wilayah itu juga dilanda banjir, dia memindahkan perniagaannya ke Bangkok.Menurutnya, dia bangun daripada tidur pada pukul 3 pagi supaya dapat tiba di bandar raya ini menjelang pukul 5 pagi bagi mendapatkan tempat strategik di pasar. Beberapa kawasan di Bangkok kini masih dilanda banjir. - Agensi
0 comments:
Post a Comment