Subscribe

Friday, 18 November 2011

Tradisi memburu paus di Indonesia (16 gambar)

url Sekolah Blogpedia yang lain : (link)
sumber artikel : Google.com


Hari ini Sekolah Blogpedia akan membawa para pembaca ke satu daerah kecil di Indonesia iaitu Pulau Lamalera, di dalam daerah Lembata. Kita akan mempelajari sebuah tradisi turun temurun yang telah memperkenalkan penduduk kaki gunung di Labalekan di seluruh dunia. Aiseh macam cikgu pula.

Jika kita selalu mendengar aktiviti pemburuan ikan paus, anjing laut mahupun penguin di negara Barat, di Indonesia juga terdapat sebuah tradisi memburu ikan paus. Dan tradisi ini hanya boleh didapati di Kampung Lamalera ini. Tradisi ini dikatakan sudah wujud sejak kurun ke 16 lagi. Menurut sumber, satu upacara ritual akan diadakan sebelum memulakan pemburuan ikan paus. Mereka akan akan mengadakan seisi berdoa kepada Pencipta supaya dapat meraih hasil, menyiapkan kelengkapan memburu yang masih bersifat tradisional serta ritual adat.


Nelayan tradisi ini hanya dilengkapi sejenis senjata yang dipanggil sebagai 'tempuling'. Ianya berupa sebatang bambu panjang dan di hujungnya diikat dengan sejenis besi tajam. Hanya dengan berkat doa dan senjata tradisi inilah yang akan menumpaskan sejumlah ikan paus yang berkali ganda besarnya dari pemburu itu sendiri. Walaubagaimanapun, kadang-kadang nelayan menghadapi kesukaran pada mulanya. Mamalia ini kadang-kadang sukar ditumpaskan dan mampu menarik perahu tradisi nelayan ini sehingga ke perairan Australia. Tetapi nelayan hanya akan mengikuti saja paus yang sudah tertangkap itu, yang kemudiannya ikan paus sudah tidak berdaya dan lemah. Di situlah, para nelayan akan menarik ikan tangkapan itu ke pantai Lamalera.

Aktiviti ini juga membahayakan nyawa nelayan itu sendiri. Hempasan ekor ikan paus mampu memecahkan perahu tradisi yang digunakan. Kalau nasib tidak menyebelahi, nelayan itu sendiri boleh terkorban nyawa, tetapi menurut mereka kejadian ini jarang-jarang berlaku. Kematian kemalangan ini dikaitakan dengan kepercayaan mereka bahawa, nelayan tersebut mungkin ada persengketaan keluarga di kampungnya. Seperti pertengkaran dengan isteri mahupun melanggar adat-adat kampung. Disebabkan itulah, nelayan akan dipastikan 'bersih' sebelum menyertai pemburuan ikan paus ini.


Aktiviti ini biasanya dilakukan pada bulan Mei setiap tahun. Perahu yang dihasilkan dari kayu dipanggil sebagai paledang. Manakala nelayan yang bertugas 'menembak' paus dengan menggunakan tempuling digelar sebagai 'lama fa'. Lama fa akan berdiri di hujung perahu atau buritan dan akan menjadi 'radar' mengesan kewujudan paus. Tombak atau tempuling akan dilontarkan ke arah badan paus dan lama fa akan terjun ke dalam air laut sambil menombak paus tersebut.


Hasil tangkapan kemudiannya akan diagih-agihkan ke seluruh kampung. Selain dimakan, penduduk kampung juga menghasilkan produk seperti minyak urut, ubat-ubatan dan bahan bakar untuk lampu tradisional mereka yang dipanggil lampu teplok. Kegiatan tahunan ini menarik ribuan pelancong untuk datang melihat sendiri pengalaman memburu paus secara tradisi. Tetapi ada juga pihak yang tidak bersetuju dengan tradisi tersebut di atas dasar menjaga spesis terancam paus ini. Hal ini segera dinafikan oleh nelayan tradisi dan mereka dengan tegas mengatakan mereka tahu paus yang sesuai untuk diburu. Mereka tidak akan menangkap ikan paus yang sedang bunting ataupun masih kecil. Mereka juga prihatin terhadap populasi ikan paus yang terdapat di perairan Lamalera.

Aktiviti tahunan ini telah dimasukkan ke dalam kalender pelancongan negara Indonesia. Festival yang dipanggil Festival Baleo akan diadakan pada setiap tahun di Lamalera. Kerajaan Indonesia begitu prihatin dengan uniknya aktiviti ini dan berharap Lamalera boleh menjadi kampung yang maju dan terkenal di serata dunia.

0 comments:

Post a Comment