Subscribe

Thursday 17 November 2011

FFM24: Tiga anugerah untuk Merong Mahawangsa




17 Nov - Bertemakan "Gemilang Filem Malaysia", malam perasmian Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) semalam menyaksikan filem epik terbitan KRU Studios, "Hikayat Merong Mahawangsa" memenangi tiga anugerah iaitu Poster Terbaik, Kesan Visual Terbaik dan Lagu Tema Asal Terbaik menerusi lagu nyanyian Anuar Zain berjudul "Sedetik Lebih".
Selain daripada itu, pengarah filem "Libas", Jurey Latiff Rosli telah dinobatkan sebagai Pengarah Harapan. Manakala Pelakon Harapan telah dimenangi oleh Nadiyatul Nisaa dan Salehhudin Bakar untuk kategori masing-masing.
Pelakon cilik terkenal Mia Sara Nasuha telah memenangi Pelakon Kanak-Kanak Terbaik menerusi filem "Sekali Lagi" yang turut dilakonkan oleh Lisa Surihani dan Shaheizy Sam.
Sebanyak sepuluh anugerah trofi telah disampaikan di malam Anugerah Gemilang Cipta yang diadakan di Panggung Anniversary, Taman Tasik Perdana dan ia disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
FFM yang mengangkat martabat dan karya hasil seni penggiat filem tempatan bakal mempertandingkan 32 kategori pada tahun ini dan baki 22 kategori akan diumumkan pada malam Anugerah Gemilang Perdana yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ahad ini.
Berikut adalah senarai pemenang bagi Malam Anugerah Gemilang Cipta FFM24:
Poster Terbaik: "Hikayat Merong Mahawangsa" (KRU Studios)
Kesan Visual Terbaik: Yusry Abdul Halim - "Hikayat Merong Mahawangsa" (KRU Studios)
Pelakon Kanak-Kanak Terbaik: Mia Sara Nasuha - "Sekali Lagi" (Metrowealth Pictures)
Pelakon Harapan Wanita: Nadiyatul Nisaa - "Cun" (Tayangan Unggul)
Pelakon Harapan Lelaki: Salehhudin Bakar - "Hantu Bonceng" (Excellent Pictures)
Lagu Tema Asal Terbaik: Sedetik Lebih - Edry Abdul Halim - "Hikayat Merong Mahawangsa" (KRU Studios)
Pengarah Harapan: Jurey Latiff Rosli – "Libas" (MDAG Marketing)
Filem Pendek Terbaik: "The Other One" (Ng Ken Kin)
Filem Animasi Terbaik: "Altitude Alto" (Mushroomhead)
Filem Cereka Bukan Bahasa Melayu Terbaik: "Great Day" (Woohoo Pictures Sdn Bhd)

0 comments:

Post a Comment